Rabu, 28 Julai 2010

"Manusia Tanpa Ilmu Manusia Itu Buta, Manusia Tanpa Harta Manusia Sengsara, Manusia Tanpa Agama Manusia Binasa, Manusia Tanpa Maruah Manusia Hina"

Rabu, 26 Mei 2010

Pengasas Silat Lincah


Mahaguru Master Datuk Haji Omardin bin Mauju, dilahirkan pada 29 Mei 1941 di Puchong, Selangor. Tetapi beliau dibesarkan di Kampung Puah, Gombak, Selangor. Anak jati Selangor yang juga dibesarkan di kampung berkenaan sudah berdepan engan keperitan hidup sejak kecil lagi akibat menderita penyakit lumpuh atau polio, iaitu sejenis penyakit yang amat sukar diubati ketika itu. Namum, kesakitan itu tidak menghalang beliau dari berusaha mencari sesiapa sahaja yang boleh mengubatinya sehinggalah bertemu seorang guru silat iaitu Syed Abdul Rahman di Pulau Besar Melaka. Guru silat berkenaan menasihati beliau mempelajari 'Silat Tarah', sebagai usaha mengubati penyakitnya. Maka, bermulalah sejarah silat dalam diri beliau. Minatnya terhadap silat semakin mendalam apabila mendapati penyakitnya menunjukkan tanda-tanda sembuh tetapi dalam masa yang sama beliau terpaksa menerima hakikat akan menghadapi kecacatan kedua-dua anggota kaki buat selama-lamanya. Sepanjang menjalani tempoh rawatan dan mempelajari silat, Omardin pernah ditanam dari kaki hingga ke paras pinggang sebanyak 15 kali di kawasan pantai pada setiap kali bulan mengambang. Semua ujian itu dihadapi dengan tabah olehnya walaupun usianya ketika itu 18 tahun. Omardin terus mempelajari pelbagai teknik silat termasuk menyerang, cara bertahan serangan musuh serta menumpaskan musuh menggunakan segala pergerakan tubuh badan termasuk anggota kakinya yang cacat. Beliau bukan sahaja dilatih oleh Syed Abdul Rahman tetapi turut dibantu oleh tujuh orang anak murid gurunya yang juga rakan seperguruan beliau. Berkat kesabaran, kecekalan dan kesungguhan beliau, Omardin seakan-akan tidak percaya apabila beliau dilantik menjadi Guru Muda setelah 4 tahun bertungkus lumus mempelajari silat berkenaan apatah lagi usianya ketika itu baru 22 tahun. Kejayaannya tidak berakhir disitu kerana selang beberapa bulan kemudian setelah melalui penilaian dan ujian getir gurunya, Omardin dilantik sebagai 'Mahaguru' dan diberi kebenaran oleh Syed Abdul Rahman mengajar Silat Lincah. Pengiktirafan 'Mahaguru' kepadanya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, Omardin membuktikan kecacatannya tidak menjadi halangan bagi menghadapi ujian kebatinan yang amat getir, antaranya ialah ditetak dengan senjata tajam, disiram dengan minyak panas dan yang paling mencemaskan apabila beliau ditanam hidup-hidup selama 2 hari 2 malam. Upacara pertabalan Omardin sebagai 'Mahaguru' dilakukan di Makam Sheikh Ismail Sultan Ariffin, Pulau Besar Melaka. Dengan melalui pelbagai adat istiadat. Dalam upacara itu juga, beliau menerima anugerah peralatan gurunya sebagai waris semua ilmu yang dimiliki oleh gurunya. Selesai upacara adat istiadat, Omardin dimandikan di 'Perigi Nenek Kebayan' dan di limau di 'Makam Tujuh Beradik' sebagai penamat upacara pertabalan. Setelah tamat berguru dengan Syed Abdul Rahman, beliau diwasiat oleh gurunya supaya berguru dengan empat orang guru lain. Bagi memenuhi wasiat berkenaan beliau mendalami ilmu silat dan kerohanian dengan Kiyai Haji Nong Lias di Rantau, Negeri Sembilan, selepas itu beliau berguru dengan Wan Alang dari Bukit Selambau, Kedah. Manakala guru ketiganya ialah Syed Mohammed Al-Qadri dan guru keempatnya ialah Tuan Haji Salleh Patani. Beliau kemudiannya berangkat ke Tanah Suci Mekkah bersama-sama dengan 37 orang jurulatih untuk 'nas'kan (mengesahkan) ilmunya. Pulang ke tanah air, Silat Lincah mula mencipta sejarah. Dengan hanya lima orang anak murid asal, Omardin membuka beberapa gelanggang di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Selasa, 25 Mei 2010

Apa Itu Silat Lincah?

Silat Lincah adalah satu aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dengan nama PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA (PSSLM) .Pertubuhan yang dipimpin oleh DATUK HAJI OMARDIN BIN MAUJU ini yang bergerak aktif sejak dari tahun 1963 dengan 5 anak murid (didaftarkan pada tahun 1969), bukan sahaja dikenali di Malaysia sebaliknya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan, sehingga kini mencapai 30,000 keahlian di luar negara. Dengan keunggulan kepimpinan Datuk Mahaguru Haji Omardin, kini PSSLM sudah pun mempunyai keanggotaannya seramai lebih kurang dari 1 000 000 orang ahli di seluruh dunia dan tercatat dalam buku Malaysia Book Of Record terbitan tahun 1998 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad (kini Tun) pada Disember 1998, sebagai sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai “Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul” . Untuk mencipta sejarah kegemilangan Silat Lincah ini bukannya satu usaha yang mudah.